Rabu, 2 September 2009

Konsep Field-to-Finish

Field-To-Finish (F2F) adalah Sistem Kerja Ukuran Hakmilik yang diautomasikan secara bersepadu sehingga ke hasil akhir tanpa melibatkan banyak proses kerja ulangan dalam peringkat kerja. F2F merupakan konsep yang dilaksanakan dengan mengintegrasikan ICT dan peralatan ukur moden. F2F merupakan pengurusan sistem ukuran hakmilik tanah secara digital sepenuhnya. Tiga komponen utama F2F ialah:

i. Sistem Ukur Total Station (STS)

ii. Sistem Automasi Pejabat Ukur Daerah (SAPD)

iii. Sistem Pengurusan Data Kadaster (SPDK)

Sistem Ukur Total Station (STS)
Sistem yang mula-mula dibangunkan adalah melibatkan pengukuran dan penawanan data di padang. Pembelian alat ukur total station yang pertama dilakukan dalam tahun 1994. Kemudian pada tahun 2002, sistem total station yang baru dengan keupayaan cerapan data di lapangan yang tinggi telah diperolehi.

Sistem Automasi Pejabat Ukur Daerah (SAPD)
Melalui sistem ini, semua maklumat pengurusan di Pejabat Ukur Daerah dan data-data teknikal pengukuran di lapangan diintegrasikan bagi mewujudkan sistem pengurusan sepenuhnya berasaskan ICT. Maklumat-maklumat daripada projek Sistem Pengurusan Data Kadaster (SPDK) di JUPEM Negeri disalurkan ke Total Station dan maklumat-maklumat dari Total Station pula disalurkan kembali ke SPDK. Dengan penyaluran maklumat secara dua hala ini, membolehkan ukuran di lapangan dilaksanakan secara lebih berkesan dan mengurangkan faktor kerja pertanyaan. Pemantauan pergerakan kerja, kemajuan pasukan ukur, kedudukan harta modal dan pengurusan Pejabat Ukur Daerah berkaitan juga dapat dilakukan dengan mudah dan cepat.
Sistem Pengurusan Data Kadaster (SPDK)
Sistem ini melibatkan aktiviti-aktiviti seperti pengeluaran Pelan Akui, produk ukur kadaster digital, pengurusan pangkalan data kadaster digital, pengurusan pangkalan data ukur kadaster (PDUK) dan Sistem Pengurusan Pangkalan Data Imej Dokumen (SPID). Melalui sistem ini JUPEM mampu memberikan perkhidmatan ukur tanah digital yang lebih cekap dan lebih berorientasikan pelanggan.

Selasa, 1 September 2009

Kaedah Pengukuran Tanah

Terdapat banyak kaedah pengukuran yang boleh dijalankan bergantung pada tujuan sesuatu pengukuran itu dibuat. Tujuan pengukuran boleh dibahagikan kepada dua bidang iaitu pemetaan dan juga kadaster.


Pemetaan

Pemetaan merupakan proses yang berterusan melibatkan berbagai teknik dan peraturan. Keperluan pertama ialah bagi menubuhkan suatu jaringan dasar titik geodetik dan batu aras. Aktiviti pemetaan antara lainnya meliputi penyediaan peta topografi dan tematik, penyediaan pangkalan data topografi dan kartografi.

Ukuran Topografi

Ukur Topografi adalah proses menetapkan kedudukan dan bentuk ciri-ciri semulajadi dan buatan manusia bagi kawasan yang diberi, biasanya bertujuan untuk menghasilkan peta. Di antara aktiviti ukuran topografi adalah pengumpulan data bagi tujuan pemetaan di mana kaedah mejaukur digunakan bagi menjalankan pengutipan data topografi di lapangan. Aktiviti yang lain adalah seperti penandaan dan pengukuran sempadan antarabangsa, penandaan dan pengukuran sempadan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan ukuran Titik Pangkal bagi sempadan perairan antarabangsa.

Ukuran Graviti

Data graviti sangat penting kepada banyak bidang terutamanya bidang geodesi bagi kajian terhadap kesan graviti ke atas semua pengukuran yang dijalankan di atas muka bumi. JUPEM menggunakan maklumat graviti bagi menghasilkan pembetulan ortometrik dalam kerja ukur aras jitu dan juga bagi menghasilkan geoid undulation untuk pemetaan jitu.
JUPEM telah menjalankan projek "Airborne Gravimetry" bertujuan untuk menghasilkan Model Geoid Jitu seluruh Malaysia bagi kerja-kerja pemetaan dan kajian saintifik. Airborne merupakan kaedah yang digunakan bagi mendapatkan nilai graviti satu titik di atas bumi dengan menggunakan pesawat udara. Di samping itu,
data-data graviti yang homogenous dapat dikumpulkan untuk kerja-kerja hitungan ketinggian Geoid. Secara tidak langsung, satu pangkalan data kebangsaan akan dapat ditubuhkan bagi tujuan penyelidikan dalam bidang Geodesi, Geofizik, Geodinamik dan sebagainya. Alat gravitimeter merupakan alat yang digunakan untuk pengukuran graviti dan merupakan alat yang sangat sensitif.
Ukuran Aras

Ukur Aras merupakan kaedah pengukuran yang memberi nilai ketinggian sesuatu titik di permukaan bumi untuk penyediaan infrastruktur pembangunan negara dalam kerja-kerja ukur dan pemetaan, kejuruteraan, saintifik dan hidrografi. Pengukuran aras ialah operasi mengukur perbezaan ketinggian di antara tanda-tanda aras secara relatif kepada datum. Tanda aras ditanam pada sela-sela yang tertentu. Kedudukan titik atau stesen di atas permukaan bumi ditentukan dengan pengukuran sudut dan jarak. Walau bagaimanapun, maklumat kedudukan stesen dalam keadaan tertentu masih dikira tidak lengkap sekiranya ketinggian stesen tersebut tidak diketahui. Ketinggian sesuatu titik atau atau Tanda Aras Jitu ditentukan dengan dua kaedah pengukuran aras iaitu Ukur Aras Jitu dan Ukur Aras Kelas Kedua. Ukuran aras jitu merupakan satu kaedah pengukuran ketinggian yang paling tepat dan mempunyai kejituan yang tinggi dalam kerja-kerja geodetik. Pengukuran dilakukan dengan menggunakan alat aras automatik berdigit. Sementara Ukur Aras Kelas Kedua dijalankan bertujuan untuk menambah kepadatan tanda aras di sesuatu kawasan dalam menyediakan kemudahan rujukan ketinggian bagi kegunaan projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan sekitar.
Ukuran GPS

GPS atau Global Positioning System merupakan kaedah pengukuran menggunakan bantuan satelit bagi menentukan kedudukan sesuatu titik di atas muka bumi dalam bentuk koordinat. Kemajuan yang pesat dalam bidang ini telah membolehkan GPS memberi ketepatan ukuran yang tinggi hingga ke tahap sentimeter.
Aktiviti pengukuran GPS yang dilaksanakan adalah untuk jaringan kawalan geodesi saintifik di samping menyediakan titik kawal pemetaan ukuran titik pangkal Malaysia. Selain daripada itu kajian saintifik juga boleh dilakukan dengan menggunakan data-data GPS untuk mengukur TEC (Total Electron Content) di dalam ionosfera. Kajian untuk mengukur kelembapan udara juga boleh dijalankan. Dengan keupayaan tersebut, kaedah ini boleh dimanfaatkan khasnya untuk kerja-kerja ukur kadaster.



Kadester

Ukuran kadaster adalah ukuran yang dijalankan untuk menyediakan pelan-pelan sesuatu lot tanah atau kumpulan-kumpulan lot tanah yang diterangkan dalam pendaftaran hakmilik dan ditunjukkan di atas tanah tanpa apa-apa keraguan. Hasil daripada ukuran kadaster ialah pelan kadaster yang memperkenalkan sesuatu kumpulan tanah untuk pendaftaran dan hakmilik. Ukur kadaster telah mengalami perubahan dalam era kecanggihan teknologi dengan penggunaan pelbagai peralatan ukur seperti Electronic Distance Measurement (EDM), Total Station dan Global Positioning System (GPS) bagi menentukan kedudukan persempadanan dan tanda kawalan, juga penggunaan komputer bagi membantu kerja-kerja hitungan dan penyediaan lukisan pelan. Berikut merupakan peralatan ukur yang digunakan bagi menjalankan pengukuran kadaster.

Alat Ukur Mekanikal

Teodolit vernier digunakan pada awal 1920 hingga 1970 bagi mengukur bearing dan sudut pugak dengan menggunakan skala yang terdapat pada penyilang kanan dan kiri alat tersebut. Penggunaan teodolit optikal pula mempermudahkan lagi bacaan cerapan melalui sistem optikal yang terdapat pada alat tersebut. Bagi ukuran jarak, rantai digunakan dan maklumat ukuran direkodkan secara manual ke dalam Buku Kerjaluar.

EDM (Electronic Distance Measurement) dan Total Station

EDM merupakan kaedah pengukuran menggunakan alat mengukur jarak secara elektronik. Ia melibatkan penggunaan kaedah pantulan gelombang elektromagnetik antara alat EDM ke prism. Teknik ini menghasilkan jarak pergi dan balik yang telah dipuratakan dan dipamerkan nilai jarak tersebut pada skrin alat EDM dalam bentuk digital. Perbezaannya dengan teodolit optikal adalah dari segi kemampuannya mengukur jarak manakala teodolit optikal mampu mengukur bearing dan sudut pugak tetapi masih memerlukan rantai ukur bagi pengukuran jarak. Sementara Total Station pula mampu mengukur bearing dan jarak tanpa memerlukan rantai ukur serta menyimpan maklumat cerapan dalam bentuk digital.