Rabu, 24 Ogos 2011

Pemandu Pejabat SUK meninggal dunia

Raya dah makin hampir teringat pulak pada aruah ayah aku yang telah meninggal pada 2009. jadi aku cuba cari dalam arkib utusan sebab dulu cerita tentang ayah aku ni pernah keluar dalam surat kahbar dan aku pun terjumpa. aku letak dalam blog ini utuk buat kenang-kenangan dan mari kita sedekahkan Al-fatihah semoga berada di tempat golongan orang yang beriman...

PEKAN 6 Dis. - Seorang pemandu Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri meninggal dunia setelah diserang sakit jantung ketika bertugas pada majlis istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-79 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Kejadian berlaku semasa mangsa, Zainal Abidin Talib, 50, yang berasal dari Kuantan, menunggu di dalam kenderaan rasmi kerajaan negeri.

Ketika itu, mangsa baru menghantar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan menanti majlis berakhir.

Namun secara tiba-tiba Zainal diserang sakit jantung dan mengalami sesak nafas.

Peristiwa itu disedari oleh seorang pegawai pengiring Fah Kui dan secara kebetulan berada di dalam kenderaan yang sama.

"Ketika itu saya duduk di kerusi sebelah pemandu dan dia ada beritahu tak sihat lalu baring selepas mengambil ubat. Tiba-tiba dia terus kejang," katanya yang enggan dikenali.

Beliau kemudian bergegas meminta bantuan seorang petugas di situ. Lelaki tersebut terus meluru ke arah kumpulan wartawan yang berada di luar pintu Balairung Seri sementara rakannya berkejar ke belakang untuk mendapatkan pasukan paramedik.

Namun kelewatan pegawai dan kakitangan perubatan itu bertindak meresahkan orang ramai.

Malah pegawai dan kakitangan paramedik terbabit dilihat seperti 'hilang arah' sehingga mangsa terpaksa dibawa keluar oleh beberapa petugas tanpa bantuan pernafasan.

Pegawai dan kakitangan perubatan terbabit ketika ditanya tentang alat bantuan pernafasan memberitahu, alat itu di dalam kenderaan.

Zainal kemudian dikejarkan ke Hospital Pekan sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Pemangku Supritendan Yahya Othman ketika dihubungi mengesahkan Zainal meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Mangsa meninggal dipercayai akibat sakit jantung," katanya.
Sumber dari Arkib: Utusan ARKIB : 07/12/2009

Isnin, 22 Ogos 2011

Duit Syiling Baharu Malaysia


Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit syiling peringatan baharu sempena pengeluaran Siri Ketiga duit syiling Malaysia yang akan berada dalam edaran pada awal tahun depan. Dilancarkan hari ini oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, duit syiling peringatan yang dikeluarkan adalah dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.

Ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi reka bentuk duit syiling siri baharu ini. Motif reka bentuk duit syiling ini memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna dan seni kraf tangan tradisional yang terdapat di Malaysia.

Siri baharu duit syiling ini lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya. Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga mempunyai sisi tepi yang berbeza-beza bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan dengan lebih baik jenis-jenis duit syiling yang berlainan. Duit syiling baharu ini dibuat dengan menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dengan memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan. Logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Bank Negara Malaysia mengeluarkan set duit syiling peringatan (Brilliant Uncirculated) sebanyak 500,000 secara berperingkat-peringkat yang dipakej secara khas dan akan dijual pada harga RM10.00 bagi setiap set. Butiran terperinci berkaitan spesifikasi duit syiling peringatan

Reka Bentuk Duit Syiling
Bahagian Hadapan Duit Syiling
Motif untuk denominasi 5 sen, 10 sen dan 20 sen memaparkan empat belas titik yang melambangkan tiga belas Negeri serta Wilayah Persekutuan. Motif untuk duit syiling 50 sen mempunyai lima garis mendatar yang melambangkan lima prinsip Rukun Negara.

Motif bagi setiap denominasi adalah seperti yang berikut:

Bahagian Belakang Duit Syiling
Bahagian belakang semua duit syiling 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen memaparkan motif yang sama iaitu bunga raya, yang merupakan bunga kebangsaan dan angka yang menunjukkan tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan perkataan 'Bank Negara Malaysia 'sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling.

Siri baharu duit syiling ini adalah sah diperlakukan dan akan berada dalam edaran bersama-sama dengan siri yang sedia ada. Siri yang sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur.

Bank Negara Malaysia akan bekerjasama rapat dengan institusi-institusi kewangan, perniagaan dan vendor yang mengendalikan wang tunai untuk memastikan peralihan yang lancar siri baharu ini. Vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengubah suai mesin mereka bagi memudahkan penggunaan duit syiling baharu ini dengan mudah.

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan Siri Keempat wang kertas baharu pada bulan September tahun ini.

Lokasi Jualan
Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual dari 26 Julai 2011 di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

sumber dari: Bank Negara Malaysia

Jumaat, 19 Ogos 2011

Kuantan Ke Arah Bandaraya

Kriteria untuk menjadikan Kuantan ke arah Bandaraya adalah seperti berikut;

1)Pusat Pentadbiran sesebuah negeri
2)Penduduknya tidak kurang 500, 000 orang
3)Hasil tahunan tidak kurang dari RM 100 juta
4)Berupaya menyediakan perkhidmatan pada tahap yang tinggi, struktur organisasi yang mantap serta kakitangan yang berkebolehan
5)Pembangunan mampan dengan mengambilkira indikator MURNInet
6)Pembentukan imej bandar atau identiti yang bersesuaian dengan fungsi bandar
7)Mempunyai pusat pentadbiran, institusi kewangan dan kemudahan perniagaan yang baik
8)Mempunyai pusat institusi pendidikan yang lengkap
9)Pusat aktiviti kebudayaan, acara sukan dan riadah serta konvensyen peringkat kebangsaan dan antarabangsa
10)Mempunyai kemudahan infrastruktur, utiliti awam yang lengkap dan mesra OKU
11)Pengiktirafan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dalam bidang tertentu sejajar sebuah bandaraya.

Di antara status bandar Kuantan sekarang yang sudah memenuhi kriteria bandaraya ialah seperti berikut :

1)Kuantan menjadi pusat pentadbiran negeri
2)Penduduknya 438, 200 orang (unjuran 2009)
3)Hasil tahunan MPK RM 84, 054, 300 pada 2009 dan dianggarkan RM 99,198,131 pada 2010
4)Berupaya memberi perkhidmatan kerana organisasi mantap dan kakitangan berkebolehan. MPK sekarang mempunyai 1240 kakitangan.
5)Sudah mendapat tahap "Mampan" menurut indikator MURNInet untuk tahun 2009 dan 2010.
6)Imej bandar atau identiti yang sesuai boleh dipilih berdasarkan fungsi bandar melambangkan sejarah dan warisan
7)Pusat perindustrian yang baik serta jumlah pelaburan sebanyak RM 18,182,128,867.00
8)59 buah institusi kewangan beroperasi di Kuantan
9)Pusat perniagaan mencatatkan keluasan 1,841,242 m.p untuk tahun 2010.
10)Jumlah pelesen sehingga tahun 2009 ialah 11,619
11)23 buah IPTA dan IPTS
12)Mempunyai pusat untuk aktiviti kebudayaan, sukan, riadah dan konvensyen
13)Banyak tempat tarikan pelancong. Sehingga 2009 seramai 857, 802 orang telah melancong ke Kuantan
14)Mempunyai pusat konvensyen yang baik. Sehingga 2009 sebanyak 272 persidangan telah diadakan di Kuantan
15)Keseluruhan pegangan unit rumah di Kuantan berjumlah 83,220 unit sehingga 2009
16)Banyak pengiktirafan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa

Apa yang paling penting sekali adalah jaminan YDP MPK jika Kuantan dinaikkan menjadi bandaraya seperti berikut :

1)Penggunaan akta yang sama - akta kerajaan tempatan (akta 171), akta jalan, parit dan bangunan (akta 133) dan akta perancangan bandar dan desa (akta 172) yang menurut beliau tidak mengubah kadar percukaian seperti sebelum menjadi bandaraya.
2)Peruntukan pembangunan dijangka bertambah melalui persekutuan menjadikan Kuantan akan membangun dengan lebih pesat.
3)Perkhidmatan majlis akan bertambah baik melalui koordinasi dengan pelbagai agensi yang hasil kebaikan akan kembali kepada penduduk Kuantan juga.

Sejarah Kuantan

Kuantan كوانتن ialah ibu negeri Pahang. Manakala penduduk Kuantan terdiri daripada 57% orang Melayu, 32% orang Cina, 4% orang India dan 7% kaum-kaum lain. Kuantan terletak berhampiran Sungai Kuantan yang mengadap ke Laut China Selatan. Pusat pentadbiran negeri Pahang telah berpindah ke Kuantan dari Kuala Lipis semenjak dari tahun 1976. Kuantan adalah sebuah bandar besar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, yang berada di kedudukan 3° 50' Utara, 103° 20' Timur (ini adalah lokasi sebelum kejadian gempa bumi dan tsunami 26 Disember 2004, yang dikatakan telah menganjakkan Semenanjung Malaysia beberapa sentimeter dari kedudukan asalnya).

Jumlah penduduk di daerah Kuantan adalah sekitar 607,778 orang. Berkedudukan di pesisir Laut China Selatan dan di tebing Sungai Kuantan berdekatan kualanya, Kuantan yang masyhur dengan pantai-pantainya dan Masjid Sultan Ahmad 1 sebagai ikon di tengah-tengah bandar adalah pintu masuk ke Pantai Timur bagi mereka yang datang dari arah Kuala Lumpur dan selatan Semenanjung. Kuantan dipercayai telah wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke-19 adalah bermula sebagai petempatan. Hal kewujudan Kuantan ini telah pun disentuh oleh Abdullah Abdul Kadir Munshi pada tahun 1851/2 seperti berikut:

"Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada dan; maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari...."

Pada abad ke-19, pendatang dari Sumatera (Indonesia) dipercayai telah membuka penempatan di tebing Sungai Kuantan, khususnya di sekitar Teruntum yang terletak berdekatan Hospital Tengku Ampuan Afzan pada hari ini. Terdapat beberapa teori mengenai asal nama "Kuantan". Ada yang mengatakan nama tersebut mempunyai kaitan dengan tempat asal pendatang dari Sumatera itu, yakni Kampung Kuantan. Terdapat juga satu tempat bernama Kuala Kuantan di negeri Selangor. Ada pula yang mengatakan nama bandar ada hubungan dengan bangsa China, kerana bunyinya yang sedemikian rupa.

Walau apa pun, suatu tempat bernama Kuantan telah wujud sebelum tercetusnya Perang Saudara Pahang pada tahun 1858, tatkala dua beradik, Wan Ahmad dan Wan Mutahir menentang satu sama lain untuk menguasai negeri tersebut setelah bapa mereka, Bendahara Ali, iaitu pemerintah Pahang, meninggal dunia. Pertelingkahan bermula apabila Wan Mutahir, yang menggantikan Ali sebagai Bendahara, telah menidakkan wasiat Ali yang menyatakan Wan Ahmad akan memerintah dua daerah - Kuantan, dan juga Endau (pada masa itu sebuah daerah dalam negeri Pahang; pada hari ini ia di dalam negeri Johor).

Perang saudara itu tamat pada tahun 1863 (walaupun pertelingkahan dalaman antara para pembesar yang telah berpecah-belah berterusan dalam dekad-dekad berikutnya), dengan Wan Ahmad mencapai kejayaan dan menjadi Bendahara Pahang yang baru. Beliau kemudiannya menaikkan taraf diri beliau sebagai Sultan Pahang, justeru mengasaskan susur-galur Sultan-sultan dan kerabat diraja yang sedang memayungi negeri. Pada waktu itu, cukai yang dikutip dari lembah Sungai Kuantan menjadi pendapatan utama pemerintah Pahang, justeru ia berkepentingan dari segi ekonomi negeri.

Kerajaan British mula mencerobohi pentadbiran negeri-negeri Melayu di sekitar permulaan Perang Saudara Pahang. Pada tahun 1888, British mengambil alih pentadbiran negeri Pahang. Kuantan mula diberikan perhatian sebagai pusat perdagangan, khususnya berkaitan aktiviti perlombongan bijih timah di pekan Sungai Lembing dan Gambang berdekatan. Pada masa itu, para peniaga berbangsa Cina mendominasi suasana perniagaan dan perdagangan di Kuantan.

Pada 30 Disember 1942, Kuantan telah jatuh ke tangan askar Jepun yang menyerang Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua. Pusat bandar lama iaitu di sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar masih menempatkan binaan-binaan era sebelum Perang Dunia Kedua, sementara kubu kecil yang dibina dalam menghadapi ancaman Jepun boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Kuantan.

Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang yang asalnya di Kuala Lipis sepanjang era residensi British telah dipindahkan ke Kuantan, dan kepentingan bandar ini dari segi pentadbiran semakin meningkat. Setelah Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (Malaysia terbentuk sebagai satu persekutuan dalam tahun 1963), Kuantan terus berkembang sebagai pusat komersial dan perusahaan yang penting. Kerajaan negeri dan Persekutuan membangunkan Kuantan dengan memberikan tumpuan kepada sektor pentadbiran, industri, pertanian dan pelancongan.

Oleh sebab Kuantan merupakan sebuah bandar yang "muda" secara relatifnya, ia tidak memiliki banyak budaya tradisi tempatan yang unik, melainkan yang dibawa oleh mereka yang berasal dari luar dan menetap di Kuantan, khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan. Oleh sebab itu, amat mudah untuk mendengar orang ramai di Kuantan bercakap dalam loghat Terengganu dan Kelantan, sementara makanan tradisional dan kegemaran dari kedua-dua negeri itu juga popular di sini. Jauh sedikit dari bandar Kuantan sendiri, iaitu ke arah barat dan selatan, barulah budaya tradisi Pahang dapat diperhatikan sedikit demi sedikit.

Pemandangan pusat bandar dari udara. Sepanjang tahun 1990-an, Kuantan menyaksikan perkembangan pesat apabila pusat komersial di tengah bandar dibina dengan banyaknya, dan jumlah penduduk di sekitar bandar dan dalam daerah Kuantan meningkat. Kuantan yang dahulunya merupakan sebuah bandar yang damai dan digambarkan sebagai "sesuai untuk mereka yang sudah bersara", kini semakin sibuk dan mula mengejar status sebagai sebuah bandaraya. Beberapa kilang petrokimia gergasi telah dibuka di Gebeng, menandakan pertumbuhan berterusan dalam sektor industri.

Sebuah bandar satelit, iaitu Indera Mahkota telah mula dibangunkan sejak pertengahan 1980-an untuk memberi ruang pembangunan di bandar Kuantan, khususnya dari segi perumahan. Pejabat-pejabat kerajaan Persekutuan dan negeri yang terletak di pusat bandar Kuantan yang sesak mula dipindahkan secara berperingkat ke bangunan-bangunan baru di Indera Mahkota. Kampus cawangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah mula beroperasi (fasa-fasa berikutnya sedang dalam pembinaan).

Setelah siapnya Jambatan Tanjung Lumpur pada tahun 1996, petempatan di seberang Sungai Kuantan, yakni di tebing selatan akhirnya memiliki perhubungan jalan raya secara terus ke bandar Kuantan. Sebelum itu, orang ramai menggunakan bot-bot penambang dari jeti di Taman Esplanade untuk ke kampung di seberang sungai; kini bot-bot berkenaan sudah pupus sama sekali. Pertumbuhan di kawasan terbabit mula rancak, akan tetapi perlindungan khas diberikan buat hutan paya bakau yang masih menutupi tebing selatan tersebut agar ia terus terpelihara.

Suasana metropolitan di bandar Kuantan kian jelas dengan pembukaan pusat membeli-belah yang besar dan premis-premis bercitarasa dan kelas tinggi sejak akhir-akhir ini. Walaupun pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) belum mengumumkan sebarang sasaran secara rasmi, ramai penduduk menjangkakan Kuantan akan diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya dalam tempoh beberapa tahun terdekat.

Dalam tahun 2004, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Satu yang menghubungkan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak ke Kuantan telah dibuka, memendekkan masa perjalanan dari ibu negara Malaysia sehingga separuh. Aktiviti perdagangan dan perindustrian, selain pelancongan dijangka semakin rancak. Kesannya sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh penduduk Kuantan sendiri pada hari ini. Pembukaan lebuhraya baru tersebut hampir serentak dengan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan ke-47 peringkat nasional di Kuantan pada 31 Ogos 2004.

Dalam bulan Oktober 2007, kerajaan Malaysia telah melancarkan pelan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (East Coast Economic Region, ECER) untuk mempercepatkan pembangunan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang, serta daerah Mersing di Johor. Pelan itu akan melihat suntikan pelaburan ke dalam sektor-sektor utama seperti pertanian, pelancongan dan industri. Walaupun Kuantan tiak diberikan penekanan besar (berbancing Kuala Terengganu yang dijadikan "pusat" bagi ECER meskipun Kuantan mempunyai lebih banyak ciri-ciri strategik), pembangunan di wilayah dan negeri akan memacu bandar itu ke hadapan. Di bawah pelan ECER, Pelabuhan Kuantan akan dinaik taraf menjadi sebuah Bandar Pelabuhan lengkap dengan zon perdagangan bebas, lebuh-lebuh raya baru akan dibina dan lapangan terbang sedia ada dipertingkatkan. Lokasi Kuantan di tengah-tengah jajaran pantai ECER (bermula dari Kelantan di utara ke Mersing di selatan) akan memastikan pembangunan dan kesejahteraan yang berterusan.

Khamis, 18 Ogos 2011

Profil Negeri Pahang




Negeri Pahang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 35,965 km2 dan terletak di Pantai Timur. Sebahagian besar daripada negeri Pahang diliputi hutan dan menyebabkan sebahagian besar taman negara terletak dalam negeri ini. Unjuran penduduknya pada tahun 2010 adalah seramai 1,534,800 orang.

Pada zaman dahulu, Pahang mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong-Fong, Phe-Hang, Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225, Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng.

Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur. Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu ada menyebut perkataan Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, dan Phang. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas’udi berpendapat, semua perkataan tersebut adalah merujuk kepada Pahang.

Warna bendera Pahang ialah hitam dan putih. Warna hitam melambangkan rakyat negeri tersebut manakala warna putih melambangkan Raja. Pahang mempunyai banyak keistimewaan berbanding negeri lain kerana memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu Sungai Pahang, gunung yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Tahan (2,190 meter) dan tasik semula jadi yang terbesar di Malaysia iaitu Tasik Bera.

Ibu negeri dan pusat pentadbirannya terletak di Kuantan sementara Pekan adalah Bandar Diraja. Pahang mempunyai 14 kawasan Parlimen, 42 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 11 daerah iaitu Jerantut, Tanah Tinggi Cameron, Temerloh, Raub, Bentong, Rompin, Kuala Lipis, Maran, Pekan, Bera dan Kuantan.

Sebagai destinasi pelancongan, negeri Pahang dianugerahkan dengan keindahan alam semula jadi yang memukau. Antara destinasi yang menarik ialah Pantai Cherating, Teluk Chempedak dan Pantai Beserah. Di Pahang juga pelancong boleh menikmati kenyamanan udara tanah tinggi di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit Fraser. Di samping itu, negeri Pahang turut memiliki taman-taman hutan yang terpelihara keasliannya seperti Rimba Kenong dan Endau-Rompin.

Sumber: Buku Malaysia 2009, Buku Rasmi Tahunan
Jabatan Penerangan Malaysia
http://www.pahang.gov.my

Garis Panduan Penerbitan

Gambar-Gambar dan Iklan-Iklan Yang Dilarang Disiarkan Dalam Akhbar-Akhbar dan Majalah-Majalah

A: Gambar-gambar dan iklan-iklan yang dilarang disiarkan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah adalah seperti berikut:

-Gambar-gambar lelaki atau wanita yang berbogel;
-Gambar-gambar lelaki yang memakai G-String sahaja;
-Gambar-gambar wanita yang menunjuk-kan buah dada atau memakai baju tetapi sebahagian buah dadanya dibuka;
-Gambar-gambar wanita yang memakai seluar dalam dan coli sahaja;
-Gambar-gambar wanita yang memakai bikini;
-Gambar wanita yang memakai pakaian yang jarang atau yang diperbuat daripada kain lace atau berlubang (see through) yang mana bahagian-bahagian tertentunya masih boleh dilihat dengan jelas;
-Gambar wanita yang hampir bogel di dalam pos-pos yang mengghairahkan;
-Gambar wanita bogel yang dihitamkan bahagian-bahagian tertentu tetapi masih jelas kelihatan pos-pos yang mengghairahkan;
-Iklan pakaian-pakaian dalam seperti coli dan seluar dalam yang dipakai oleh model-model atau dipakaikan kepada patung-patung (Jenama pakaian secara bersendirian sahaja boleh diiklankan);
-Petikan ayat-ayat suci Al-Quran, memadai disiarkan terjemahan ayat-ayat itu sahaja dan dinyatakan surahnya;
-Sebarang iklan daripada negara Israel;
-Iklan-iklan yang menyiarkan gambar-gambar Ka’abah atau masjid sebagai latar belakang;
-Iklan-iklan alat-alat contraceptive;
-Gambar-gambar udara (kecuali dengan kebenaran Jabatan Pemetaan);
-Gambar-gambar ruang di dalam semua protected places dan protected areas di bawah Ordinan 33/59;
-Gambar-gambar ruang di dalam semua protected places di bawah Akta 88/72;
-Gambar-gambar ngeri kejadian yang benar-benar berlaku (seperti wajah dekat seseorang yang berlumuran darah atau seseorang tanpa kepala akibat kemalangan);
-Iklan-iklan dari Kedutaan Asing kecuali jika kebenaran telah diberi oleh Wisma Putra.


B: Iklan Produk Tembakau

Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993
Pengiklanan hasil tembakau dilarang. Ini termasuklah seperti berikut:

-Tidak boleh mempamer, menyebabkan atau membenarkan di pamer, atau memberi kuasa mempamer, sesuatu iklan hasil tembakau;
-Gambaran sebarang hasil tembakau, bekas termasuk kotak, tin, atau paket hasil tembakau atau yang mengilustrasikan / mencerminkan perbuatan merokok;
-Tidak boleh menjual, atau menyebabkan / membenarkan dijual, apa-apa filem atau pita video atau apa-apa benda yang dihasilkan atau diedarkan di Malaysia, yang mengandungi iklan hasil tembakau;
-Tidak boleh mengedar, atau menyebabkan / membenarkan di edar, apa-apa risalah, sebaran dokumen yang merupakan iklan hasil tembakau kepada orang ramai;
-Tidak boleh mencetak atau menerbitkan iklan hasil tembakau dalam apa-apa penerbitan bercetak, buku, majalah, risalah, sebaran, surat khabar atau bahan bercetak yang diterbitkan di Malaysia.


Pengecualian :

-Iklan hasil tembakau yang terdapat di dalam / pada bungkusan yang mengandungi hasil tembakau;
-Penerbitan oleh pengilang hasil tembakau dalam majalah yang dimaksudkan bagi pengedaran kepada pekerja-pekerja pengilang itu sahaja;
-Iklan yang di pamerkan di dalam kedai atau tempat jualan runcit di mana hasil tembakau ditawarkan untuk jualan

Berkuat kuasa 14 Ogos 2004, pengharaman bagi semua jenis promosi tembakau kecuali kelonggaran untuk sukan bola sepak hingga akhir tahun 2004 serta kelonggaran bagi sukan bermotor F1 sehingga awal tahun 2006.

Berkuat kuasa 12 Mei 2004, larangan menyeluruh bagi promosi jenama rokok terhadap semua media cetak termasuk penerbitan yang diimport untuk edaran di negara ini.


C: Iklan Ubat

Iklan-iklan ubat diwajibkan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tiap-tiap iklan ubat yang hendak disiarkan di dalam akhbar atau majalah hendaklah disertai dengan nombor kod rujukan kelulusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Adalah dinasihatkan supaya mendapatkan salinan surat kelulusan tersebut daripada syarikat yang mengiklankan.


D: Iklan Talian 600

Berkuat kuasa 4 Sepetember 2002, semua bentuk iklan yang menawarkan perkhidmatan perbualan melalui talian-talian telefon dalam media cetak termasuk majalah diharamkan.


E : Garis Panduan Liputan Perbicaraan Kes Jenayah dan Pembunuhan Akhbar Tempatan

-Mengelak mensensasikan kes berupa liputan berita secara spekulatif dan tidak berasas;
-Mengelak memberi penonjolan keterlaluan dengan menyiarkan tajuk sensasi sahaja sebagai tajuk utama di muka depan akhbar;
-Membuat liputan berita kes secara saksama seimbang dan bertanggungjawab;
-Berhati-hati agar tidak menyinggung dan menimbulkan reaksi negatif pihak-pihak tertentu sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat;
-Memuatkan laporan di halaman dalam akhbar tentang perjalanan kes secara harian;
-Tidak menyiarkan gambar ahli-ahli keluarga, terutamanya anak dan isteri tertuduh atau mangsa dalam kes jenayah seksual.