Rabu, 8 Jun 2011

SKIM CEPAT KAYA



PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 2 TAHUN 2009


LARANGAN PENGLIBATAN PEGAWAI AWAM DALAM SKIM CEPAT KAYA

TUJUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk menyampaikan keputusan Kerajaan berhubung larangan penglibatan pegawai awam dalam skim cepat kaya.

TAKRIF

2. Bagi maksud Pekeliling ini:
Ketua Jabatan” bermaksud seseorang pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu Kementerian, Jabatan, institusi, agensi atau unit dan termasuklah mana-mana pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang diberi kuasa dengan sewajarnya secara bertulis oleh pegawai yang bertanggungjawab bagi Kementerian, Jabatan, institusi, agensi atau unit untuk bertindak bagi pihaknya.

Pegawai” bermaksud seorang anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Skim Cepat Kaya” bermaksud satu bentuk pelaburan yang menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan bebas daripada sebarang risiko, yang tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau pihak-pihak berkuasa lain. Ia juga termasuk sebarang bentuk pelan / aktiviti pelaburan yang menyalahi undang-undang walaupun ianya dijalankan oleh institusi berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan.

LATAR BELAKANG

3. Pada masa ini, Kerajaan mendapati ramai pegawai awam terlibat dalam skim cepat kaya sama ada secara langsung atau tidak langsung sehingga menjejaskan imej perkhidmatan awam. Selain itu, pengendali skim cepat kaya ini turut mengeksploitasi penglibatan pegawai awam bagi memberi gambaran seolah-olah skim sedemikian telah diluluskan oleh pihak Kerajaan untuk menarik pelabur-pelabur lain.


4. Gejala yang tidak sihat ini juga boleh menyebabkan pegawai yang terlibat terjebak dalam masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta akhirnya menjejaskan prestasi pegawai selaku penjawat awam.

PERATURAN BARU

5. Dengan ini Kerajaan telah memutuskan bahawa pegawai awam dilarang sama sekali terlibat dalam mana-mana skim cepat kaya termasuk sebagai penganjur atau pengantara atau pelabur.

6. Pegawai awam yang melabur dalam skim cepat kaya akan dikenakan tindakan tatatertib kerana boleh diertikan / ditafsirkan sebagai bersubahat atau bersekongkol dengan penganjur atau pengantara skim tersebut.

7. Pegawai yang ingkar dengan larangan ini akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau peraturan-peraturan lain yang berkuat kuasa.


TANGGUNGJAWAB PEGAWAI

8. Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, semua pegawai awam yang terlibat dalam skim cepat kaya termasuk sebagai penganjur atau pengantara atau pelabur dikehendaki menghentikan penglibatan mereka dengan serta-merta.

TANGGUNGJAWAB KETUA JABATAN

9. Ketua Jabatan bertanggungjawab untuk memantau pegawai di bawah penyeliaannya dan melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib untuk tindakan sewajarnya.

TARIKH KUAT KUASA

10. Peraturan baru ini berkuat kuasa mulai tarikh Pekeliling Perkhidmatan ini dikeluarkan.

PEMAKAIAN

11. Tertakluk kepada penerimaannya oleh Pihak Berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ”

TAN SRI ISMAIL ADAM)
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA PUTRAJAYA
13 Januari 2009



sumber rujukan (http://www.jpa.gov.my/ )
JPA (S) TT/71/195( 5 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan